SELAMAT DATANG KE BLOG SAYA.TERIMA KASIH DAUN KELADI,LAIN KALI DATANG LAGI. KALAU SUKA BLOG NIE FOLLOW..LA..


Iklan heartbeat

IKLAN

SAHABAT

Sabtu, 29 Jun 2013

MENELITI FAKTA SEJAUHMANAKAH KEBENARAN PEJUANGAN GOLONGAN KIRI

PENDAHULUAN
Tanggal 31 ogos 1957 merupakan tarikh yang sangat bermakna melayu penduduk Malaysia. Hal ini demikian kerana, tanggal 31 ogos 1957 merupakan tarikh kemerdekaan negara. Kemerdekaan negara telah memberi sinar dan harapan baru kepada penduduk tanah melayu untuk merasakan secebis kebahagiaan dalam kehidupan setelah sekian lama ditindas oleh penjajah. Kemerdekaan negara sesuatu yang sangat berharga dan bukan sesuatu perkara yang mudah untuk diperoleh. Pejuang-pejuang terdahulu terpaksa berjuang, berkorban jiwa dan raga untuk mendapat untuk memerdekakan tanah air tercinta. Tokoh-tokoh perjuang yang terdahulu seperti  Dato’ Onn Ja’afar, Tengku Abdul Rahman, Dato’ Bahaman dan Tok Jangut telah banyak berjasa dan rela berkorban nyawa untuk mendapat kemerdekaan negara. Peranan Tokoh-tokoh seperti Dato’ Onn Ja’afar dalam usaha menyatukan padu orang melayu dalam menuntut kemerdekaan merupakan perkara yang penting dan berjasa kepada negara. Peranan Tengku Abdul Rahman yang sanggup pergi ke London untuk berbincang dan berunding dengan pihak British untuk mendapatkan kemerdekaan tanpa tumpahan darah. Disini kita dapat melihat peranan tokoh-tokoh terdahulu sanggup berkorban dan berjuang semata-mata untuk mengecapi kemerdekaan. Tetapi pernahkah kita terfikir tentang peranan golongan kiri yang kurang dikenali sebagai pejuang nasionalisme iaitu semangat cinta akan negara dan bangsa, mungkin turut sama-sama memainkan dalam menuntut kemerdekaan negara. Kita sering terbaca di dalam buku-buku sejarah dan akhbar tentang tokoh-tokoh perjuangUnited Malays National Organisation’ atau Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu yang dikenali  sebagai UMNO dalam menuntut kemerdekaan  tetapi kita lupa tentang golongan yang kurang dikenali dan kurang difahami ini. [1] Pada penulisan saya kali ini, saya mengkaji penulisan golongan kiri, memahaminya serta akan mengemukakan hujah-hujah supaya kita boleh menilai peranan golongan kiri dalam menuntut kemerdekaan Tanah Melayu walaupun secebis sumbangan yang diberikan oleh golongan kiri . Kadang-kadang kita tertanya-tanya adakah penentang-penentang Malayan Union sahaja yang dianggap pejuang kemerdekaan. Saya tertarik untuk mengeluarkan pandangan dan kata-kata seorang tokoh PKMM daerah Temerloh iaitu Jaafar Hussin yang mengatakan bahawa, adakah pejuang-pejuang yang sanggup bermatian-matian dan berjuang menentang Inggeris pada zaman penjajah tidak wajar dianggap pejuang?. Apakah pejuang-pejuang Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang wujud sejak sebelum Perang dunia Kedua dahulu tidak perlu dicatatkan dalam lembaran untuk tatapan generasi sekarang dan akan datang.  Menurut Cheah Boon mungkin semangat nasionalisme melayu telah muncul sejak awal 1930. Surat-surat khabar Melayu digunakan untuk membangkitkan semangat satu bangsa untuk mempertahankan hak-hak mereka daripada ancaman penjajah. Tetapi malangnya gerakan nasionalisme Melayu telah berpecah kepada 2 aliran iaitu aliran kanan dan aliran kiri. Menurut Rustam A. Sani aliran kiri dan kanan ini dipengaruhi oleh asal usul pemimpin gerakan itu. Pemimpin aliran kanan terutamanya dari golongan aristokrat dan pentadbir. Contohnya Tengku Abdul Rahman Putra Al-Hajj. Pemimpin aliran kiri biasanya berasal dari desa dan tani.[2] Peranan Kesatuan Melayu Muda (KMM) Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API) dan Angkatan Wanita Sedar (AWAS)  yang turut berjuang tidak diberikan pengiktirafan. Setelah membaca pandangan dan penulisan tokoh-tokoh golongan kiri tersebut membuat saya berfikir sejenak dan cuba meneliti fakta untuk disampaikan dalam esei kali ini.
SIAPAKAH YANG DIMAKSUDKAN GOLONGAN KIRI
      Apakah yang dimaksudkan golongan kiri?. Golongan kiri ditakrifkan sebagai  golongan atau mereka yang menentang UMNO, kerana pihak UMNO dapat berunding dengan pihak Inggeris dalam politik Tanah Melayu. Menurut Khoo Kay Kim golongan kiri dibahagikan dalam beberapa kelompok. Kelompak yang pertama ialah golongan kiri yang bersifat radikal atau kiri pelampau. Contohnya Parti Komunis Malaya (PKM) yang mempunyai komitmen yang jelas dari segi ideologi. Golongan ini bersifat agesif dan ganas serta mengangkat senjata untuk berjuang. [3] Golongan kiri yang seterusnya ialah golongan kiri yang kuat bersikap anti British. Mereka berjuang habis-habisan untuk membebaskan Tanah Melayu daripada dijajah. Mereka juga dikenali kiri Islam iaitu Hizbul Muslimin. Hizbul Muslimin dipimpin oleh Abu Bakar Al- Bakir. Hizbul Muslimin mempunyai banyak pengikut di seluruh negara. Dr. Burhanuddin yang mempunyai latar belakang pendidikan agama turut termasuk dalam golongan kiri Islam.  Sikap anti penjajah dan sayang tanah air menjadi asas perjuang dan menentang penjajah British. Dr. Burhanuddin menjadi pemimpin PKMM pada akhir 1945 hingga 1946 yang menjadi medium perjuang golongan kiri menuntut kemerdekaan di Tanah Melayu.[4] Pada tahun 1956 Dr. Burhanuddin telah dilantik menjadi President Parti Islam Se- Malaysia (PAS) dan ramai pengikut aliran kiri Islam turut menyertai PAS.  Lebih menarik Ibrahim Chik tokoh API menyatakan kelantangan suara ‘Merdeka’ PKMM di Kongres pertama PKMM. Dengan jelas, menunjukkan sikap PKMM yang jelas sayang akan tanah air dan mahukan kemerdekaan.[5]
BUKTI-BUKTI KETULUSAN PERJUANGAN DAN MATLAMAT PERJUANGAN GOLONGAN  KIRI DALAM USAHA MENDAPATKAN KEMERDEKAAN.
      Sekiranya kita membaca dan mengkaji dengan teliti matlamat serta tulisan pejuang-pejuang golongan kiri. Kita akan dapat melihat ketulusan dan kemurnian dalam perjuang mereka. Mungkin cara perjuang mereka yang digambar dalam artikel-artikel dan penulisan sarjana terdahulu agak kejam dan keras. Tetapi saya dapat merasakan ada matlamat yang murni yang ingin diperjuangkan iaitu kemerdekaan Tanah Melayu. Pada ketika itu, PKM, API, dan AWAS menyemaikan semangat kemerdekaan Tanah Melayu dan perjuangan di tahun 1945, 1946, 1947 dan 1948 ramai penduduk dan golongan pemimpin menentang. Mereka menuduh orang melayu tidak layak merdeka . Mereka mengatakan “Macam mana hendak merdeka, buat jarum pun tidak pandai”. Disini kita dapat lihat betapa sinis kata-kata yang digunakan untuk menentang perjuangan yang ingin membebaskan negara dan menuju kearah kemerdekaan. Kata-kata yang sinis ini menjatuhkan imej golongan kiri dan seterusnya mengurangkan sokongan masyarakat tempatan terhadap perjuangan mereka. Golongan yang tidak faham dan golongan menyokong kuat pihak British menyifatkan perjuangan kemerdekaan ini seperti “anjing menyalak bukit”. Terdapat juga pihak mengatakan perjuangan tersebut merupakan perjuangan yang tidak mempunyai matlamat.[6] PKMM pula jelas menunjukkan matlamat perjuangan ingin menuntut kemerdekaan dan membebaskan Tanah Melayu. Menurut Ishak Haji Muhammad menyatakan kami golongan nasionalis radikal dalam Tanah Melayu telah menubuhkan PKMM dengan tujuan menuntut kemerdekaan penuh atas tanah air Melayu dan bangsa Melayu.[7]
      Ketulusan hasrat murni golongan kiri khususnya dalam PKMM dapat kita lihat apabila Parti Kebangsaan Melayu Malaya telah mendahului mana-mana parti lain apabila ditubuhkan pada 30 November 1945 di Ipoh[8]. Disini kita dapat lihat semangat pejuang kiri dalam usaha membantu membebaskan Tanah Melayu daripada penjajah Inggeris. Sekirannya kita mengkaji dengan lebih teliti penubuhan PKMM lebih awal daripada UMNO. UMNO ditubuhkan pada 11 Mei 1946. Disini kita dapat melihat mungkin kesedaran pemimpin golongan kiri lebih awal dalam menuntut dan perjuangkan kemerdekaan berbanding pemimpin UMNO. UMNO pula ditubuhkan apabila Malayan Union ingin ditubuhkan. Penubuhan pula UMNO bertujuan menyatukan orang melayu dan sepakat menentang Malayan Union seterusnya baru berkembang dalam menuntut kemerdekaan Tanah Melayu.
      Parti Kebangsaan Melayu Malaya telah mengariskan matlamat yang jelas dalam perjuangan. Contohnya ialah mereka hendak menubuhkan sebuah gabungan Tanah Melayu dan memperjuangkan semua kaum mempunyai hak yang sama rata.  Disini kita dapat melihat bagaimana golongan kiri dari PKMM memperjuangkan hak sama rata untuk kemakmuran dan keadilan rakyat. Tetapi disini saya kurang bersetuju kerana hak istimewa harus dikekal kerana hak orang melayu sebagai peribumi asal mesti dikekal. Contohnya berkaitan urusan pemilikan dan pembelian tanah. Hak sama rata dari segi kebebasan hak bersuara turut diberikan dalam PKMM. Rakyat hendaklah diberikan kebebasan hak bersuara, kebebasan menerbitkan akhbar dan berhimpun. [9] Saya pendapat kebebasan hak bersuara adalah wajar dan kita dapat menilai serta menilai perkara yang ingin sampaikan oleh orang lain. Setiap orang berhak mengatakan kebenaran dan menyampaikan perkara yang benar. Di sini kita dapat melihat ketulusan nilai murni dalam perjuangan PKKM  yang memberikan asas dan ruang untuk setiap insan bersuara.
PELEMBAGAAN RAKYAT CETUSAN IDEA GOLONGAN KIRI
      Apabila kita memahami sejarah dari ruang lingkup lain dan penulisan golongan kita melihat peranannya dan kesedarannya. Kesedaran golongan kiri khususnya PKMM telah mewujudkan gabungan golongan kiri yang dikenali sebagai Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA). Gabungan tersebut terdiri  PKMM, API, AWAS dan Hizbul Muslimin. Pada 22 Februari 1947, PUTERA telah mengadakan Persidangan Gerakan Kiri Malaya di ibu pejabat  PKMM di Jalan Batu, Kuala Lumpur. Gabungan ini dilahirkan untuk memperkasakan  pergerakan kiri di Tanah Melayu. Pada waktu tersbut pergerakan politik Cina turut menentang penjajah British. Akhirnya PUTERA telah mengambil keputusan untuk bergabung dengan All-Malayan Council of Joint Action  (AMCJA). AMCJA merupakan gabungan pergerakan Cina berhaluan kiri. Dengan jelas, menunjukkan dan membuktikan bahawa kerjasama politik pelbagai kaum telah dicetuskan oleh golongan kiri dalam persada politik Tanah Melayu.[10] Dengan ini, kita dapat melihat kesedaran awal golongan kiri untuk bersatu dan menentang penjajah PUTERA-AMCJA. Gagasan Malayan Union dan Persekutuan Tanah Melayu yang dianjurkan oleh penjajah British ditentang oleh PUTERA-AMCJA. Lantaran itu,  mereka telah melahirkan sebuah perlembagaan yang diberi nama  Perlembagaan Rakyat   pada tahun 1947.  Dengan ini jelas, menunjukkan usaha gabungan golongan kiri dalam menuntut kemerdekaan dan membuka mata masyarakat untuk mempunyai kerajaan sendiri. Namun kerjasama ini tidak direstui oleh pihak British kerana mereka berusaha untuk mencapai kemerdekaan dan salah satu usaha untuk menjatuhkan British.[11]
 PEMBENTUKAN PERLEMBAGAAN RAKYAT USAHA GOLONGAN KIRI UNTUK MERDEKA
      Pada tahun 1947  Perlembagaaan Rakyat telah dihasilkan oleh PUTERA-AMCJA untuk kearah kerajaan sendiri. Perlembagaan dihasilkan bertujuan untuk dihantar kepada pihak British dan dipertimbang. Tetapi telah ditolak oleh pihak British kerana golongan kiri dianggap radikal dan ganas. Tetapi itu bukan isunya disini saya ingin membawa kandungan pembaca menilai kandungan yang terdapat dalam Perlembagaan Rakyat. Terdapat 10 perkara penting yang terdapat dalam Perlembagaan Rakyat. Pertama, Perlembagaan Rakyat telah menggariskan Malaya Bersatu termasuk Singapura. Kedua, satu Dewan Perundangan Pusat bagi seluruh Malaya dengan keseluruhan ahlinya yang dipilih oleh orang ramai. Disini kita lihat betapa Perlembagaan Rakyat cuba membentuk keadilan dalam perkara 1 dan 2 dalam perlembagaan tersebut. Perkara pertama telah cuba menyeru masyarakat untuk bersatu dan bergabung dengan Singapura. Dalam perkara 2 memberi rakyat memilih ahli di Dewan Perundangan Pusat dan memberi kebebasan ahlinya untuk bersuara untuk rakyat.[12] Perkara ke 7 dalam Perlembagaan Rakyat iaitu Bahasa Melayu harus menjadi Bahasa Kebangsaan dan telah kekal dalam perlembagaan Malaysia hari ini. Jaafar Hussin berpendapat Perlembagaan Rakyat telah membuka minda dan ada perkara yang disampaikan oleh Perlembagaan Rakyat kekal dalam perlembagaan hari ini. Jaafar Hussin juga menyatakan bahawa akhbar Inggeris The Straits Times telah memuji Perlembagaan Rakyat sebagai salah satu usaha yang bagus dan satu percubaan yang baik.[13]
  AKHBAR GOLONGAN KIRI MENDORONG SEMANGAT UNTUK MERDEKA
      Ahmad Boestamam tokoh golongan kiri menggunakan  akhbar Suara Rakyat untuk membuka mata rakyat Tanah Melayu. Beliau telah menulis pandangan beliau didalam akhbar  Suara Rakyat ‘Suara Rakyat dan sesungguhnya ialah sebuah akhbar Melayu yang berkhidmat untuk  melahirkan buah-buah fikiran atau kemusykilan orang ramai. Oleh itu dipersilakan orang ramai menggunakan dia dengan sepenuhnya. Supaya hal kemusykilan atau kemahuan orang ramai mendapat pertimbangan’. Dengan ini, Ahmad Boestamam dalam penulisannya jelas menunjukkan bahawa tujuan utama penerbitan akhbar Suara Rakyat adalah untuk memupuk kesedaran dan membuka minda kepada rakyat tentang merdeka dan berkerajaan sendiri.[14] Akhbar Suara Rakyat juga menjelaskan “banyak berita-berita luar negeri yang didengar daripada radio bahawa negeri-negeri yang terkemuka seperti Amerika Syarikat dan lain-lain negeri sedang sibuk bekerja menyelesaikan soal-soal tanah jajahan yang mesti diberi memerintah sendiri yang termasuk juga Tanah Melayu ini”. Kata-kata ini telah membuka minda rakya Tanah Melayu untuk berfikir dan mencetuskan semangat untuk merdeka. Disini kita dapat melihat usaha golongan kiri dalam memainkan peranan membuka minda rakyat menggunakan akhbar Suara Rakyat dan seterusnya memupuk semangat ingin bebas dan merdeka.[15]  Abdul  Majid Salleh pula menegaskan bahawa akhbar-akhbar ini memberi ruang yang cukup baik untuk golongan radikal menyampaikan kritikan terhadap penjajah. Penulis di Pelita Malaya dan Suluh Malaya, pula adalah sama sahaja isinya cuma tajuk dan gaya bahasanya mungkin agak berlainan sedikit. Tetapi isi dan kandungan tetap menghentam British ataupun memberi keinsafan kepada rakyat.[16]
REGIMEN KE-10 GERILA PERJUANGAN GOLONGAN KIRI MELAYU ISLAM
      Regimen ke-10 ditubuhkan khas untuk orang melayu untuk berjuang menggunakan senjata selepas PKMM dan banyak persatuan golongan kiri lain diharamkan. Pada awalnya Regimen ke- 10 tidak mendapat sambutan oleh PKMM kerana mempunyai ideologi komunis  dan kurang mendapat tempat dalam kalangan masyarakat Melayu kerana majoriti beragama Islam. Kehadiran tokoh seperti Dr. Burhanuddin Al-Helmy, Ahmad Boestamam dan Ishak Haji Muhammad menyukarkan usaha pihak komunis. Tetapi lama-kelamaan ideologi komunisme telah menyelinap masuk ke dalam perjuangan PKMM. Pengenalan Akta Darurat pada 1948 telah menyebabkan ramai tokoh-tokoh kepimpinan PKMM di tangkap.Dengan ini, Ahli-ahli PKMM terpaksa menzahirkan perjuangan berasaskan komunis melalui Rejimen ke-10 PKM  setelah perjuangan berlandaskan undang-undang telah diharamkan.[17] Kebanyakkan ahli PKMM terdesak serta takut ditangkap lalu menyertai Regimen ke- 10 untuk berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan. Pemimpin Regimen ke- 10 Parti Komunis (PKM) seperti Abdullah C.D. dan Abu Samah menyatakan mereka berjuang mengangkat senjata hanya untuk menentang pihak British. Kadang-kadang kita tertanya-tanya adakah Regimen ke –10 berpegang kepada Islam. Hal dijelaskan oleh Abdullah C. D mengatakan beliau berpegang teguh kepada agama Islam serta memberitahu ideologi komunis hanya semangat atau dogma iaitu pegangan yang ketat untuk berjuang menentang penjajah British.[18]  Abu Samah mengatakan, saya menyertai Regimen ke- 10 PKM dan tidak menyertai UMNO dalam berjuang kerana ingin Merdeka. UMNO hanya melaungkan slogan ‘hidup Melayu’ dan bukannya berjuang untuk kemerdekaan.[19]
PERJUANGAN GOLONGAN KIRI SELALU DIPERBURUKAN DAN DIPANDANG NEGATIF .
      Parti Kebangsaan Melayu Malaya mendapat sokongan yang kurang daripada orang melayu. Hal ini demikian kerana, sikap PKMM didakwa membawa idelogi menyokong Malayan Union sepenuhnya. PKMM dikatakan telah menolak sistem pemerintahan beraja dan mahukan kerakyatan terbuka diberikan serta ingin memenuhi kehendak orang bukan Melayu. Tetapi sebenarnya PKMM menerima Malayan Union kerana British telah menjanjikan kemerdekaan. Golongan UMNO pula, mendapat sokongan padu ketika itu kerana menentang Malayan Union dan berjuang untuk orang melayu. PKMM didakwa telah menjadi alat atau dipergunakan oleh pihak British yang menaburi janji manis untuk memberikan kemerdekaan. Sekiranya kita mengkaji Perlembagaan Rakyat perkara ke 4 iaitu sultan-sultan Melayu haruslah mengambil tempatnya sebagai raja-raja berperlembangaan yang berdaulat penuh dan menerima nasihat-nasihat rakyat melalui institusi-institusi yang demokratik.[20] Dengan ini jelas menunjukkan sikap PKMM dalam Perlembagaan Rakyat yang masih menjaga hak raja-raja. Mungkin ketika PKMM menyokong Malayan Union hasrat utamanya untuk rakyat dan ingin mendapat kemerdekaan dengan cepat. PKMM juga dikatakan merupakan alat orang bukan Melayu, komunis dan bahkan pihak British. Golongan kiri juga dikatakan adalah parti ‘pelampau’ (radikal) yang dipengaruhi  oleh gerakan nasionalis Indonesia dan memperjuangkan cita-cita menyatukan Tanah Melayu di bawah sebuah republik Melayu Raya atau Indonesia Raya. Golongan kiri didakwa berjuang secara ‘radikal’ bukan sahaja kerana mereka menolak terus jalan perundingan dalam mencapai kemerdekaan, bahkan cuba mengenepikan hak-hak orang Melayu demi memenuhi cita-cita politik. Kini, tulisan golongan kiri diterbitkan untuk menjelaskan sejarah dari kedua belah pihak.
PENUTUP
      Disini kita melihat dan menilai sendiri sejauhmana kebenarannya. Tetapi saya akan merumuskan daripada keseluruhan esei ini. Sekiranya kita mengkaji penulisan dan memahami konteks perjuangan golongan kiri sedikit sebanyak ada kebenaran dalam usaha mencapai kemerdekaan negara, Sikap mereka di tonjolkan dalam usaha membuka minda rakyat dalam akhbar Suara Rakyat, menggubal Perlembagaan Rakyat untuk di pertimbangkan oleh pihak British merupakan usaha murni untuk menyedarkan orang Melayu. Golongan kiri juga membuka berusaha dalam mencetuskan idea-idea baru dalam memperjuangkan kemerdekaan dan menyemai semangat anti penjajah yang jarang kita baca dalam buku-buku sejarah. Keikhlasan dan secebis usaha untuk membantu rakyat Tanah Melayu untuk merdeka mungkin ada kebenaran. Penubuhan Kesatuan Melayu Muda dan PKMM selaku parti politik sebelum penubuhan parti politik lain menunjukkan kesedaran mereka dalam untuk merdeka dan menyeru kesedaran dalam diri rakyat Tanah Melayu. Tujuan esei ini bukanlah tujuan mengangkat golongan kiri tetapi mencari kebenaran dan ketulusan dalam  menulis sejarah. Pejuang-pejuang negara seperti Tengku Abdul Rahman tetap pejuang utama kemerdekaan dan peranan mereka tidak boleh diragukan. Peranan golongan kiri ini mungkin membantu dalam usaha menpercepatkan kemerdekaan negara dan memberi British berfikir. Saya dengan rasa rendah diri berpendapat perjuangan golongan kiri ada peranannya dalam usaha kemerdekaan Tanah Melayu walaupun peranan yang diberikan cuma secebis keringat dan patut ditulis dalam lipatan sejarah untuk golongan muda mengetahui sejarah yang sebenarnya sejarah. Keganasan dan kekejaman yang dilakukan golongan kiri tidak di sokong sama sekali serta ditentang. Sebenarnya, sejarah ditulis oleh orang menang dan pemerintah negara ada tujuan,  kita sebagai ahli sejarah yang baru seharusnya menilai, mengkaji dan menyampaikan sejarah yang sebenarnya sejarah.


[1] Kassim Thukiman, (2002), Malaysia, Perspektif, Sejarah dan Politik, Skudai, Johor Darul Ta’zim: Penerbit Universiti Teknologi, hlm. 91.
[2] Mohamed Salleh Lamry, (2006), Gerakan dan Tokoh Kiri, Kamarulzaman Teh dalam Kancah Perjuangan Kemerdekaan, Petaling Jaya, Selangor: Strategic Information Research Development (SIRD), hlm. 20.

[3] Mohamed Salleh Lamry, (2006), Gerakan dan Tokoh Kiri, Kamarulzaman Teh dalam Kancah Perjuangan Kemerdekaan, hlm. 21.
[4] Mohamed Salleh Lamry, (2006), Gerakan dan Tokoh Kiri, Kamarulzaman Teh dalam Kancah Perjuangan Kemerdekaan, hlm. 21.
[5] ________, (2010), Memoir Ibrahim Chik, Dari API ke Rejimen ke- 10, Petaling Jaya, Selangor: Strategic Information Research Development (SIRD), hlm. 23.
[6] Jaafar Hussin, (1989), Kebenaran, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 152
[7] Ishak Haji Muhammad., (1997), Memoir Pak Sako Putera Gunung Tahan, Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, hlm. 228.
[8] Jaafar Hussin, (1989), Kebenaran, hlm. 152.
[9] Jaafar Hussin, (1989), Kebenaran, hlm. 153.
[10] Jaafar Hussin, (1989), Kebenaran, hlm. 153.
[11] Mohd. Isa Othman, (2002),  Sejarah Malaysia ( 1800-1963), Kuala Lumpur: Utusan Publications,  hlm. 310-313.
[12] Jaafar Hussin, (1989), Kebenaran, hlm. 153.
[13] Jaafar Hussin, (1989), Kebenaran, hlm. 154.
[14] Suara Rakyat. 26 September 1945. hlm.1.
[15] Suara Rakyat. 8 September 1945. hlm. 1.
[16] ________, (2004), Memoir Abdul  Majid Salleh, dalam PKMM dan KESATUAN Buruh,  Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia, hlm. 68.
[17] Ahmad Boestamam, (1972), Merintis jalan ke punchak, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 74-75.
[18] ________, (2005), Islam Melayu Komunis, Wawancara Dengan: Abdullah C.D. ,Rashid Maidin, Abu Samah, Petaling Jaya, Selangor: Strategic Information Research Development (SIRD), hlm. 13.
[19] Islam Melayu Komunis, Wawancara Dengan: Abdullah C.D. ,Rashid Maidin, Abu Samah, hlm. 87.
[20] Jaafar Hussin, (1989), Kebenaran, hlm. 153.